Monday, 8 August 2011

PERSEKITARAN KELUARGA DAN KESANNYA TERHADAP TINGKAH LAKU DEVIAN REMAJA



Sejak kebelakangan ini, pelbagai pihak mula menaruh kebimbangan tentang pelbagai gejala sosial yang melanda remaja dan seterusnya meruntuhkan akhlak anak-anak remaja masa kini. Saban hari gejala sosial ini semakin meningkat dan pelbagai salah laku yang dilakukan oleh remaja, dari salah laku yang kecil hinggalah salah laku yang besar. Apa yang membimbangkan adalah kadar jenayah dan masalah sosial di kalangan remaja dan pelajar sekolah semakin meningkat.
            Hal ini kerana, remaja merupakan generasi yang bakal mewarisi negara serta akan menerajui negara kita pada masa hadapan. Oleh itu, pelbagai harapan diletakkan agar mereka berupaya menjadi individu yang berguna serta mampu menyumbang ke arah kesejahteraan negara. Oleh hal demikian, masyarakat sekarang mengalami kebingungan dengan fenomena keruntuhan akhlak di kalangan remaja dan pelajar sekolah.
            Bagi remaja yang melanggar norma masyarakat setempat ia merujuk kepada tingkah laku devian dan sekiranya golongan ini merujuk kepada mereka yang masih bersekolah atau remaja bawah umur, mereka dikenali sebagai dilinkuen. Devian atau delinkuen, secara umumnya adalah tingkah laku yang melanggar peraturan atau bertingkah laku yang tidak dapat diterima oleh masyarakat. Tingkah laku devian dan delinkuen di kalangan pelajar remaja merupakan antara masalah yang begitu ketara. Hal ini kerana, kes yang dilaporkan meningkat dari semasa ke semasa tanpa mengira kawasan, sama ada di bandar mahupun di luar bandar. 
            Menurut Hall (1904) remaja adalah masa yang penuh dengan kekeliruan, kesedihan dan konflik. Selain itu, perkembangan remaja amat dipengaruhi oleh persekitarannya dan persekitaran yang terdekat serta terpenting buat remaja adalah keluarga mereka. Oleh itu, ibu bapa seharusnya seharusnya membimbing anak-anak mereka bagi mengelakkan diri dari terjebak dengan kegiatan negatif.
Oleh itu,adalah penting bagi orang dewasa untuk mengikuti perkembangan remaja, khususnya ibu bapa, pendidik dan ahli masyarakat. Apabila mereka tidak  dikawal atau kurang perhatian, pelajar-pelajar remaja akan mudah terpengaruh dan suka mengabaikan pelajaran. Sekiranya keadaan ini berlaku, ia akan menghasilkan remaja yang tidak produktif seperti mencuri, melepak dan terlibat dengan pelbagai gejala sosial.

            

No comments:

Post a Comment