Monday, 8 August 2011

PERANAN PEKERJA SOSIAL SEBAGAI PEMANGKIN / ENABLER


Menurut Barker (1987) memberi definisi pemangkin atau fasilitator sebagai tanggungjawab untuk membantu klien agar mampu menangani tekanan situasional atau transisional. Pernyataan ini membawa maksud dalam literatur pekerjaan sosial, peranan “pemangkin” (enabler) sering juga disebut “fasilitator”. Bahkan definisi kedua-duanya sering ditukarkan antara satu-sama lain. Sebagai pemangkin atau pemudahcara, seseorang yang terlibat secara langsung dalam bidang pekerjaan ini akan menjadi agen perubahan kepada individu atau kumpulan tertentu. Fokus utama bantuan yang diberikan oleh seorang pemangkin adalah untuk membangunkan potensi mereka secara optimum atau menyeluruh, dan menghalang daripada timbulnya gangguan fungsi dalam sesebuah sistem.
Pekerja sosial sebagai pemangkin atau fasilitator mempunyai tanggungjawab menilai struktur polisi dan program-program yang mempunyai kelemahan dalam sesebuah organisasi demi mempertingkatkan keberkesanan perkhidmatan. Setelah menentukan faktor–faktor yang menghalang perkhidmatan yang efisyen, pekerja sosial mempunyai tanggungjawab untuk merancang dan melaksana pendekatan yang kondusif bagi mamantapkan perkhidmatan termasuklah penyediaan input-input berkaitan kepada pihak pentadbir atau pengurusan agensi: penggunaan mesyuarat staf untuk memperakukan atau mengajukan masalah; penggabungan dengan staf lain untuk memberikan tekanan kepada pentadbir yang menentang serta menggalakkan penyertaan atau penglibatan dalam sesi latihan perkhidmatan dan sebagainya.
          Strategi-strategi khusus untuk mencapai tujuan tersebut adalah meliputi: pemberian harapan, pengurangan penolakan dan ambivalensi, pengakuan dan pengaturan perasaan-perasaan, mengidentifikasi atau mengenal pasti dan mendorong kekuatan-kekuatan personal dan aset-aset sosial, memisahkan masalah menjadi beberapa bahagian sehingga lebih mudah dipecahkan, dan pemeliharaan sebuah fokus pada tujuan dan cara-cara pencapaiannya (Barker, 1987:49).





PERANAN PEKERJA SOSIAL SEBAGAI BROKER



Dalam konteks pembangunan manusia peranan pekerja sosial sebagai broker akan membantu menghubungkan pelanggan yang terdiri daripada individu, kumpulan, organisasi atau masyarakat dengan komuniti pengeluar atau yang menyediakan sesuatu perkhidmatan. Menurut Baker, 1995, seorang broker juga membantu meletakkan kepelbagaian segmen dalam sesuatu perhubungan di antara satu individu dengan komuniti yang lain bagi meningkatkan pertukaran pendapat atau minat masing-masing.
Misalnya, seorang broker dapat membantu pelanggan mendapatkan makanan atau tempat tinggal ketika kecemasan. Satu contoh yang mudah, seorang pekerja sosial (broker) membantu warga emas mendapatkan pusat perlindungan atau rumah warga tua.  Peranan sebagai broker pula pada prinsipnya adalah “menghubungkan pelanggan dengan sumber-sumber dan perkhidmatan dan mengawal kualiti sumber dan perkhidmatan tersebut. Terdapat juga tiga kata kunci dalam pelaksanaan peranan sebagai broker, iaitu menghubungkan (linking); barang-barang atau sumber dan perkhidmatan (goods or resources and services); dan kawalan mutu (quality control). 

PERSEKITARAN KELUARGA DAN KESANNYA TERHADAP TINGKAH LAKU DEVIAN REMAJA



Sejak kebelakangan ini, pelbagai pihak mula menaruh kebimbangan tentang pelbagai gejala sosial yang melanda remaja dan seterusnya meruntuhkan akhlak anak-anak remaja masa kini. Saban hari gejala sosial ini semakin meningkat dan pelbagai salah laku yang dilakukan oleh remaja, dari salah laku yang kecil hinggalah salah laku yang besar. Apa yang membimbangkan adalah kadar jenayah dan masalah sosial di kalangan remaja dan pelajar sekolah semakin meningkat.
            Hal ini kerana, remaja merupakan generasi yang bakal mewarisi negara serta akan menerajui negara kita pada masa hadapan. Oleh itu, pelbagai harapan diletakkan agar mereka berupaya menjadi individu yang berguna serta mampu menyumbang ke arah kesejahteraan negara. Oleh hal demikian, masyarakat sekarang mengalami kebingungan dengan fenomena keruntuhan akhlak di kalangan remaja dan pelajar sekolah.
            Bagi remaja yang melanggar norma masyarakat setempat ia merujuk kepada tingkah laku devian dan sekiranya golongan ini merujuk kepada mereka yang masih bersekolah atau remaja bawah umur, mereka dikenali sebagai dilinkuen. Devian atau delinkuen, secara umumnya adalah tingkah laku yang melanggar peraturan atau bertingkah laku yang tidak dapat diterima oleh masyarakat. Tingkah laku devian dan delinkuen di kalangan pelajar remaja merupakan antara masalah yang begitu ketara. Hal ini kerana, kes yang dilaporkan meningkat dari semasa ke semasa tanpa mengira kawasan, sama ada di bandar mahupun di luar bandar. 
            Menurut Hall (1904) remaja adalah masa yang penuh dengan kekeliruan, kesedihan dan konflik. Selain itu, perkembangan remaja amat dipengaruhi oleh persekitarannya dan persekitaran yang terdekat serta terpenting buat remaja adalah keluarga mereka. Oleh itu, ibu bapa seharusnya seharusnya membimbing anak-anak mereka bagi mengelakkan diri dari terjebak dengan kegiatan negatif.
Oleh itu,adalah penting bagi orang dewasa untuk mengikuti perkembangan remaja, khususnya ibu bapa, pendidik dan ahli masyarakat. Apabila mereka tidak  dikawal atau kurang perhatian, pelajar-pelajar remaja akan mudah terpengaruh dan suka mengabaikan pelajaran. Sekiranya keadaan ini berlaku, ia akan menghasilkan remaja yang tidak produktif seperti mencuri, melepak dan terlibat dengan pelbagai gejala sosial.